PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada masyarakat Tamil, Sikh serta komuniti Malayalee yang meraikannya.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini, Anwar berharap sambutan tahun baharu itu membawa kebahagiaan, ketenangan jiwa, kesihatan berpanjangan serta keberkatan kepada semua yang terlibat.
Menurutnya, kepelbagaian budaya yang dimiliki rakyat Malaysia menjadi asas penting dalam membina perpaduan serta mengukuhkan hubungan antara kaum.
“Kepelbagaian yang kita warisi ini adalah asas yang menyatukan kita dalam satu ikatan kebersamaan dengan semangat saling menghormati, memahami dan memperkukuh antara satu sama lain,” katanya dalam catatan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat untuk terus memelihara perpaduan dengan penuh tanggungjawab agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang makmur dan harmoni.
Tahun Baharu Tamil ialah hari pertama dalam tahun mengikut kalendar Tamil sementara Hari Vaisakhi menandakan permulaan musim menuai menurut kalendar masyarakat Sikh dan Punjabi yang diraikan hari ini.
Sementara Hari Vishu yang diraikan esok oleh masyarakat Malayalee, menandakan permulaan tahun kalendar Malayalam serta melambangkan pembaharuan dan kemakmuran.


