Satu lagi operasi pembenihan awan di Melaka, Johor minggu depan – NRES

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi agensinya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan mengadakan satu lagi operasi pembenihan awan (OPA) di Melaka dan Johor minggu depan, berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan di beberapa kawasan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, NRES dan METMalaysia sentiasa memantau rapat situasi cuaca semasa yang mencatatkan peningkatan suhu hingga 37.5 darjah Celsius dalam tempoh peralihan monsun.

DATUK Seri Arthur Joseph Kurup (duduk tengah) dalam sidang media selepas prapelancaran Minggu Kelestarian Antarabangsa (ISW) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini

“Minggu lalu, kita telah memulakan operasi pembenihan awan di beberapa negeri dan kita melihat hasil yang memberangsangkan. Bagaimanapun, peningkatan paras air sungai masih belum mencapai tahap diharapkan.

“Oleh itu, kita menerima permohonan untuk melaksanakan satu lagi operasi pembenihan awan di Johor dan Melaka minggu depan sebagai langkah mitigasi susulan keadaan cuaca panas dan kering berterusan, yang dijangka hingga Mei dan Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada prapelancaran Minggu Kelestarian Antarabangsa (ISW) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Arthur, sebagai langkah mitigasi awal, kerajaan melaksanakan operasi pembenihan awan selamat empat hari bermula 6 April dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada empangan utama di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor bagi membantu mengekalkan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia terus berhubung rapat dengan negara jiran memandangkan keadaan kering berpotensi meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan sekiranya berlaku kebakaran.

Katanya, pemantauan berterusan dan nasihat akan dikeluarkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan situasi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img