Orang ramai digesa rujuk ramalan cuaca dikeluarkan sempena Aidilfitri

BERSEMPENA sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca khas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua sepanjang musim perayaan ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, berdasarkan ramalan cuaca khas oleh MET Malaysia bagi tempoh 20 hingga 23 Mac ini, dijangkakan keadaan cuaca yang secara umumnya kering dan panas di kebanyakan tempat.

Menurut beliau, fenomena ini berikutan kehadiran udara yang kering di seluruh rantau negara dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun katanya, potensi hujan dan ribut petir dalam tempoh singkat masih wujud, terutamanya pada waktu petang atau awal malam di beberapa lokasi.

“Pada Jumaat 20 Mac, hujan dijangka berlaku di Perak dan Bahagian Tawau, Sabah pada waktu pagi, manakala ribut petir diramal melanda Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, dan Johor pada sebelah petang.

“Bagi hari Sabtu 21 Mac, hujan dijangka turun di Perak pada waktu pagi dan beralih ke Lembah Klang serta beberapa bahagian di Sarawak menjelang petang. Pada hari Ahad 22 Mac, dijangkakan cuaca yang baik di seluruh negara pada waktu pagi dan malam, kecuali sedikit hujan di beberapa bahagian di Sabah dan Sarawak pada sebelah petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arthur berkata, mengambil kira ramalan cuaca ini, adalah disarankan agar aktiviti ziarah atau rumah terbuka yang dirancang turut memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesihatan.

Tambah beliau, memandangkan cuaca dijangka panas di kebanyakan tempat, rakyat dinasihatkan agar sentiasa kekal hidrasi dan memakai pakaian yang selesa serta menyerap peluh bagi mengelakkan strok haba.

“Bagi yang merancang perjalanan pulang ke kampung atau melakukan perjalanan jauh, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan sentiasa peka dengan amaran ribut petir pada sebelah petang bagi mengelakkan risiko banjir kilat atau jalan licin.

“Ibu bapa juga disarankan untuk memantau aktiviti anak-anak di luar rumah, terutamanya jika berlaku perubahan cuaca yang mendadak secara tiba-tiba. Dapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia di www.met.gov.my atau gunakan aplikasi myCuaca untuk mendapatkan kemas kini cuaca dari semasa ke semasa,” katanya.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img