SEORANG wanita berusia lingkungan 30-an direman selama tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai seorang peguam baru-baru ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, suspek ditahan di kediamannya di daerah Kuala Terengganu semalam susulan laporan polis yang diterima.
Menurutnya, kejadian tersebut dikesan berlaku pada 12 April lalu kira-kira jam 9 pagi, semasa pengadu yang merupakan seorang pegawai polis berusia lingkungan 30-an sedang bertugas di Mahkamah Majistret Setiu.
Beliau berkata, pengadu mendakwa telah didatangi oleh suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai peguam kepada seorang tahanan yang dituduh memberi keterangan palsu.
”Atas dasar jawatan yang dinyatakan, wanita itu dibenarkan berjumpa dengan tahanan di dalam kawasan mahkamah.
”Bagaimanapun, penyamaran suspek mula terbongkar sewaktu pertuduhan dibacakan kepada tahanan apabila dia secara tiba-tiba mengaku kepada pihak mahkamah bahawa dia sebenarnya hanyalah penjamin dan bukannya peguam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zain berkata, suspek dipercayai sengaja menipu dengan menggunakan identiti peguam sebagai modus operandi untuk mendapatkan akses bertemu tahanan berkenaan.


