SPRM perkukuh kerjasama institusi kewangan, BNM banteras rasuah, ‘fraud’

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik antara institusi kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam usaha membanteras rasuah dan fraud yang membabitkan risikan kewangan dalam pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jalinan kerjasama melalui Program Compliance Officers Networking Group (CONG) menjadi platform penting untuk meningkatkan perkongsian risikan kewangan dalam pengubahan wang haram.

“Hasil penguatkuasaan serta kerjasama berasaskan data dan risikan, sebanyak RM15.5 bilion berjaya dipulihkan dalam tempoh lima tahun sehingga Februari 2026 melalui pelbagai operasi berprofil tinggi,” katanya ketika berucap pada Program CONG Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Tahun 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16 Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.

Menurut Azam, Malaysia kekal komited memperkukuh rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan selaras piawaian antarabangsa di bawah Financial Action Task Force (FATF).

“Susulan Mutual Evaluation Exercise (MEE), Malaysia kini berada dalam fasa pemantauan berkala yang menuntut penambahbaikan berterusan daripada segi keberkesanan penguatkuasaan, pendakwaan serta hasil siasatan kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan institusi kewangan memperkukuh proses ‘ketekunan wajar’ (due diligence), meneliti struktur pemilikan kompleks serta memantau transaksi melibatkan individu berprofil tinggi atau Politically Exposed Persons (PEPs).

Beliau turut menggesa pelaksanaan program pembangunan kapasiti yang lebih berstruktur, termasuk latihan berasaskan kes sebenar dan pembangunan keupayaan dalam analisis kewangan dan penggunaan teknologi bagi mengesan transaksi mencurigakan.

Azam turut merakamkan penghargaan kepada institusi kewangan atas kerjasama berterusan, khususnya dalam penyaluran maklumat, analisis transaksi kompleks serta sokongan sepanjang proses siasatan.

Sementara itu, Pengerusi CONG, Faradina Mohammad Ghouse berharap kerjasama strategik itu dapat diperkukuh melalui pendekatan lebih proaktif bagi menjayakan pelbagai inisiatif pada masa hadapan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img