Lelaki rentung kereta Subaru BRZ dipandu bertembung lori tanah

SEORANG lelaki rentung selepas kereta jenis Subaru BRZ yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah sebelum terbakar di Jalan Miri Bypass di Miri, pagi ini.

Mangsa yang rentung dikenali sebagai Roy Hakimi Arikan @ Ariken, 40.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.31 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi kejadian katanya, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori dengan muatan tanah dan sebuah kereta sport jenis Subaru BRZ .

“Lori terbabit terbakar 100 peratus di bahagian hadapan, manakala kereta berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.

“Difahamkan, kereta berkenaan terbabit dalam kemalangan dengan lori sebelum ia terbakar dan terdapat seorang mangsa masih berada di dalam kenderaan tersebut semasa api sedang marak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu saluran bantu mula daripada jentera bomba.

Selain itu, khidmat sebuah lori lain turut digunakan untuk menarik ke belakang lori yang terlibat kebakaran bagi membolehkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, anggota bomba menemukan seorang lelaki rentung di tempat duduk pemandu kereta berkenaan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah punca kejadian masih dalam siasatan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img