SPRM anjur KIARA 2026, ruang sebenar suara antirasuah mahasiswa

PEKA akan perubahan generasi intelektual muda hari ini serta kelantangan dan kebebasan bersuara golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan Karnival Integriti dan Antirasuah (KIARA) Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2026 esok.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (Penmas) SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, pihaknya sedar golongan mahasiswa hari ini bukan sahaja mempunyai  kemampuan intelektual tetapi ada antara mereka yang berani dan radikal dalam mengetengahkan isu atau topik berkaitan rasuah.

Menurutnya, inisiatif mewujudkan ruang interaksi dan komunikasi di antara agensi ini bersama golongan mahasiswa ini bukanlah perkara baharu malah pendekatan yang digunakan kini lebih tersusun dan berstruktur.

“Dalam aspek pendidikan pencegahan antirasuah di peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tempatan, telah wujud Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di 119 institusi dan kita juga turut mempunyai Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (KorSUAR) iaitu program sukarelawan unit beruniform yang sedang dilaksanakan di dua institusi pengajian tinggi tempatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) serta Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Karnival ini satu medium kemuncak yang telah dirancang dan akan menghimpunkan 1,500 peserta AMAR dari enam  IPTA dan IPTS untuk sesi advokasi santai dalam sesi townhall bersama SPRM dan rakan strategik antaranya Pusat Response Scam Kebangsaan (NSRC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Karnival ini yang akan dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan diadakan di Dewan Canselor, Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya, bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang esok.

Ahmad Nizam berkata,  karnival dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu tepat masanya kerana mahasiswa dilihat sebagai kumpulan masyarakat yang mampu bertindak sebagai agen perubahan  dinamik.

”SPRM percaya mahasiswa mempunyai kuasa mobilisasi yang besar dalam menggerakkan kesedaran antirasuah yang menyeluruh. Ini kerana bukan bilangan mereka yang ramai tetapi ia turut dipengaruhi oleh keupayaan intelektual mereka,’’ katanya.

Menurut beliau , ‘Bertemakan ‘Berani Memerangi Rasuah: Mahasiswa Peneraju Perubahan’, KIARA 2026 adalah inisiatif mewujudkan medan pertemuan dan perkongsian idea pencegahan rasuah.

‘’Selari dengan aspirasi Sambutan Hari Antirasuah Sedunia 2025–2026 yang menekankan komitmen menyeluruh seluruh lapisan masyarakat dalam memerangi rasuah secara berterusan dan kolektif,’’ katanya.

Beliau berkata, program sehari itu  juga bakal menjadi ruang manifestasi pandangan dan penyatuan gagasan idea mahasiswa secara teratur dan berhemah.

“Penganjuran karnival ini  bukti keterbukaan dan komitmen berterusan dalam membina generasi mahasiswa yang berani, berprinsip dan berintegriti sekaligus menjadi peneraju perubahan ke arah Malaysia yang bebas rasuah,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img