BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor Mohd Jamil Md Idross, 78, yang ditemui lemas di Sungai Teluk Bagan, Alor Setar pagi tadi, dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan kenderaannya.
Ketua Polis Kota Setar Syed Basri Syed Ali berkata siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rutin harian mengalihkan kenderaan dari kawasan rumah ke lokasi berhampiran sungai di sebelah kediamannya, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat keluarganya kira-kira 11.30 malam semalam sebelum menyedari kehilangannya pada jam 5 pagi tadi.
“Keluarga kemudian menemukan sepasang selipar milik mangsa berhampiran Sungai Teluk Bagan dan mengesyaki beliau terjatuh ke dalam sungai sebelum membuat laporan polis.
“Mangsa ditemukan pasukan bomba pada kira-kira jam 8.10 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi seliparnya dijumpai,” katanya.
Syed Basri berkata siasatan turut mendapati sebuah Perodua Kancil berwarna putih dipercayai telah dialihkan mangsa ke kawasan berhampiran sungai sebelum kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Jamil menjadi wakil rakyat selama dua penggal iaitu dari 1995 hingga 1999 dan 2004 hingga 2008.


