Buli: ATM tegas, berintegriti, tetap dihormati

Oleh Penulis Khas

SEJAK sekian lama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdiri sebagai benteng terakhir kedaulatan negara bukan sekadar sebuah organisasi bersenjata tetapi lambang keberanian, disiplin dan pengorbanan yang tidak ternilai.

Namun akhir-akhir ini, isu buli dalam kalangan warga ATM telah mencuri perhatian umum mencetuskan kebimbangan dan memberi ruang kepada persepsi negatif yang mencalar imej sebuah institusi yang selama ini disanjung tinggi.

Hakikatnya, setiap institusi besar pasti tidak terlepas daripada ujian, namun kita harus tegas membezakan antara salah laku individu dengan nilai dan prinsip keseluruhan organisasi. ATM tidak pernah mendidik anggotanya untuk menindas.

Sebaliknya setiap anggota dibentuk dengan nilai kepimpinan, disiplin diri dan semangat setiakawan yang tinggi merupakan nilai yang menjadi teras kepada kekuatan sebuah angkatan tempur yang profesional.

Isu buli yang timbul bukanlah cerminan budaya ATM tetapi penyimpangan daripada prinsip yang sebenar malah, sejarah panjang ATM membuktikan bahawa angkatan ini dibina atas asas hormat-menghormati, kepercayaan antara rakan seperjuangan dan kepimpinan berteraskan teladan.

Dalam medan operasi tidak ada ruang untuk penindasan yang wujud hanyalah kebergantungan antara satu sama lain demi kelangsungan hidup dan kejayaan misi.

Apa yang lebih penting ATM bukan sebuah organisasi yang berdiam diri apabila berdepan salah laku. Ketegasan dalam tindakan disiplin adalah bukti bahawa integriti institusi ini tidak boleh dikompromi.

Mana-mana individu yang melanggar etika dan undang-undang akan tetap dikenakan tindakan tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Inilah kekuatan sebenar ATM iaitu keupayaan memperbetulkan kelemahan tanpa menutup kebenaran.

Dalam konteks yang lebih luas, masyarakat juga perlu berlaku adil dalam menilai. Jangan kerana satu atau dua insiden, seluruh angkatan dihukum dengan persepsi yang tidak seimbang.

Di sebalik isu yang dibangkitkan, ribuan anggota ATM terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, berkorban masa, tenaga malah nyawa demi memastikan rakyat hidup dalam aman dan sejahtera.

Mereka berkhidmat dalam senyap jauh dari perhatian namun tetap setia kepada sumpah mempertahankan negara. Inilah masa untuk kita memperkukuh naratif sebenar tentang ATM. ATM adalah sebuah angkatan yang sentiasa belajar, memperbaiki diri dan bergerak ke hadapan.

Isu buli harus ditangani dengan serius tetapi ia juga harus menjadi titik perubahan untuk memperkukuh sistem latihan, kepimpinan dan pemantauan dalaman agar lebih berkesan. Setiap cabaran adalah peluang untuk membina angkatan yang lebih matang, berintegriti dan dihormati.

Lebih daripada itu warga ATM sendiri perlu bangkit mempertahankan maruah institusi ini. Mereka bukan sekadar anggota bersenjata mereka adalah penjaga kehormatan negara.

Setiap tindakan, setiap keputusan, mencerminkan bukan sahaja diri sendiri tetapi keseluruhan angkatan. Justeru, budaya saling menghormati, menjaga kebajikan rakan dan menolak sebarang bentuk penindasan mesti terus diperkasakan sebagai identiti utama ATM.

Akhirnya, maruah sebuah angkatan tidak dibina dalam sehari, ia terbentuk melalui sejarah panjang pengorbanan, disiplin dan kesetiaan. Isu buli tidak harus menjadi noktah kepada keyakinan rakyat tetapi sebagai peringatan bahawa kekuatan sebenar bukan hanya pada keupayaan tempur tetapi pada keutuhan nilai dan integriti.

ATM akan terus berdiri teguh, gagah, setia dan berprinsip dan selagi semangat itu kekal, selagi itulah kepercayaan rakyat tidak akan goyah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img