PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi menambah geran tahunan yang diberikan kepada Universiti AIMST
Katanya, Kerajaan Madani komited untuk memastikan kebajikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di universiti itu terus terpelihara menerusi jaminan bantuan pengajian.
“Kerajaan persekutuan, kerajaan Madani akan memastikan anak-anak paling miskin di universiti ini terus diberi jaminan bantuan. Oleh itu, saya tambah RM1 juta khusus untuk tujuan tersebut.
“Minggu lalu, kita (mengumumkan) memberikan peruntukan RM100 kepada setiap pelajar sekolah menengah dan universiti bagi keperluan pembelian buku,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Kerajaan Tahunan kepada Universiti AIMST, di Bedong.
Pada majlis itu, Universiti AIMST menerima geran tahunan berjumlah RM25 juta.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran di peringkat global, pertumbuhan ekonomi negara masih teguh bertahan.
Beliau berkata kadar pengangguran negara ketika ini berada pada tahap terendah, manakala prestasi pelaburan pula mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.
“Tentu kita syukur, tetapi saya sebut selalu kalau istilahnya, ‘tidak sepatutnya dibuai dengan rasa leka’. Lihat cabarannya, salah satu cabaran utama, sudah tentu pendidikan, bagaimana untuk memastikan kita terus cemerlang,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata pendidikan merupakan instrumen penting dalam mengangkat martabat rakyat dan membina masa depan yang baik.
Justeru, kata beliau, kerajaan meletakkan pendidikan sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan setiap tahun.


