SITUASI di Selat Hormuz tidak wajar dibandingkan dengan keadaan di Selat Melaka kerana kedua-duanya melibatkan faktor serta cabaran yang berbeza.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia bersama Indonesia dan Singapura tidak berdepan keadaan seperti dialami Iran, selain menolak kemungkinan berlakunya senario sama di rantau ini.
Tegas beliau, ketiga-tiga negara ini komited menjunjung prinsip antarabangsa, termasuk kebebasan perdagangan dan pelayaran di perairan Selat Melaka.
“Tiada sebab untuk menyamakan Selat Melaka dengan Selat Hormuz kerana situasi dan faktor dihadapi adalah berbeza.
“Malaysia, Indonesia dan Singapura tidak berdepan cabaran seperti Iran, malah ketiga-tiga negara sentiasa berpegang kepada undang-undang serta prinsip antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi lawatan ke Pameran Defence Services Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kestabilan di Selat Melaka akan terus dipelihara selagi tiada sebarang tindakan bermusuhan daripada mana-mana negara yang boleh menjejaskan ekonomi global.
Beliau turut menegaskan bahawa negara-negara di rantau ini, khususnya ASEAN akan terus memastikan keselamatan serta kelancaran laluan perdagangan utama dunia itu kekal terjamin.


