SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun diselamatkan polis selepas dipercayai dikurung dalam sebuah stor di belakang rumah keluarga angkatnya sepanjang cuti sekolah baru-baru ini, selain didakwa hanya diberi makan dua kali sehari.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 petang semalam sebelum menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Serema.
Menurutnya, aduan diterima mendakwa seorang kanak-kanak perempuan dikurung dalam sebuah stor yang terletak di belakang rumah berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan anak angkat kepada keluarga itu sejak berusia setahun lapan bulan.
“Sepanjang cuti sekolah dari Mei hingga Jun lalu, mangsa dipercayai ditempatkan dalam sebuah stor yang tidak berkunci di belakang rumah dan hanya diberikan makanan sebanyak dua kali sehari.
“Mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk menggunakan tandas sebelum diarahkan kembali ke stor selepas selesai,” katanya.
Mohd Yatim berkata, siasatan lanjut turut mendapati mangsa dipercayai sering dimarahi dan dipukul oleh suspek yang juga ibu angkatnya atas perkara-perkara kecil.
“Antara alasan diberikan adalah mangsa didakwa mencuri makanan pada waktu malam.
“Susulan itu, polis menyelamatkan mangsa dan membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, seorang wanita berusia 46 tahun yang juga ibu angkat mangsa ditahan di rumah berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Suspek akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.


