BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal mengumumkan ‘rumah baharu’ yang bakal disertainya pada Mei selepas beliau dipecat daripada parti itu pada 13 Februari lalu.
Ahli Parlimen Larut itu turut mendakwa ‘rumah baharu’ itu mempunyai kekuatan besar dengan jumlah keahlian mencecah ratusan ribu orang.
Bagaimanapun, beliau berkata, perincian mengenainya belum dapat didedahkan kerana perbincangan berkaitan masih dijalankan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), selain nama rasmi entiti itu masih belum dimuktamadkan.
“Buat masa ini, perbincangan sedang giat dijalankan dengan ROS untuk memastikan segala prosedur dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat, sekali gus mengelakkan timbul isu teknikal atau perundangan pada masa depan.
“Setakat ini, penyusunan pada peringkat bahagian berjalan lancar dengan lebih 130 bahagian sudah mengemukakan senarai kepimpinan. Jumlah keseluruhan dijangka mencecah sekitar 150 bahagian dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tahlil dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Bukit Bertam, Batu Kurau di Larut hari ini.
Hamzah memberitahu, beliau mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas lanjut mengenai struktur dan hala tuju parti itu, memandangkan sensitiviti politik semasa serta kemungkinan timbul pelbagai persepsi negatif daripada pihak tertentu.
Ditanya mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang, beliau berkata, perkara itu tidak wajar diperbesarkan kerana ia berkait rapat dengan kedudukannya selepas dipecat daripada Bersatu.
Menurutnya, jawatan Ketua Pembangkang bukan milik mutlak mana-mana individu, sebaliknya ditentukan oleh kekuatan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
“Dalam blok pembangkang kini, ada tiga kelompok utama membabitkan PAS, Bersatu dan Bebas.
“Ahli Parlimen daripada ketiga-tiga blok inilah yang akan menentukan siapa Ketua Pembangkang seterusnya sebelum Parlimen bersidang semula nanti,” jelasnya.


