LIMA anggota Tentera Udara India (IAF), termasuk dua pegawai, terbunuh hari ini apabila sebuah pesawat pengangkut tentera jenis Antonov AN-32 terhempas ketika mendarat di Jorhat, Assam.
Daripada enam anggota yang berada di dalam pesawat itu, seorang berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Dalam satu hantaran di platform X, Indian Air Force menyatakan bahawa pihaknya amat berdukacita atas kehilangan lima anggota yang telah melakukan pengorbanan tertinggi dalam menjalankan tugas.
“IAF merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa dan akan terus berdiri teguh bersama mereka dalam saat-saat dukacita ini,” kata IAF..
Menurut sumber, pesawat itu berlepas kira-kira pukul 10 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia) dari Jorhat menuju ke Chabua untuk melaksanakan misi penerjunan bekalan.
Tidak lama selepas berlepas, pesawat tersebut dilaporkan meminta kebenaran untuk mendarat semula.
Dalam proses itu, pesawat berkenaan terbabas dari landasan, melintasi laluan teksi selari (parallel taxiway), lalu terbelah kepada dua bahagian sebelum terbakar. Operasi menyelamat dilancarkan serta-merta.
Dalam hantaran berasingan di X sebelum itu, IAF memaklumkan bahawa kemalangan tersebut berlaku semasa satu penerbangan rutin di Jorhat.
“Pengurusan lokasi nahas dan siasatan awal sedang dijalankan pada masa ini,” kata IAF sambil meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga keputusan awal siasatan diperoleh.
Ini merupakan nahas besar ketiga melibatkan pesawat AN-32 dalam tempoh 10 tahun terakhir. Dibeli pada tahun 1984 daripada bekas Soviet Union, AN-32 merupakan antara pesawat pengangkut utama dan penting bagi IAF. Sekurang-kurangnya dua pesawat jenis ini telah terhempas sejak 2016, mengorbankan 42 anggota IAF.
Pada 22 Julai 2016, sebuah AN-32 hilang ketika terbang di atas Bay of Bengal dari Pangkalan Tentera Udara Tambaram, Chennai ke Port Blair, mengorbankan 29 orang yang berada di dalamnya.
Pada 3 Jun 2019 pula, sebuah AN-32 terhempas di kawasan berbukit ketika dalam perjalanan ke Mechuka di daerah West Siang, Arunachal Pradesh, berhampiran sempadan dengan China, mengorbankan 13 orang yang berada di dalam pesawat tersebut.






