TEHRAN masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pusingan baharu rundingan dengan Amerika Syarikat, sambil menegaskan bahawa Iran tidak melihat tanda-tanda kesungguhan daripada Washington dalam proses diplomasi.
Dalam sidang media mingguannya jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, Baqaei berkata Iran kekal berpegang kepada kepentingan nasional dan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau tarikh akhir luar.
Beliau turut mendakwa Amerika Syarikat berulang kali melanggar komitmen senjata serta meneruskan tindakan ketenteraan walaupun proses diplomasi sedang berlangsung, termasuk insiden di sekitar Selat Hormuz dan serangan terhadap kapal dagang.
“Sejak awal gencatan senjata, kami berdepan pelanggaran dan tindakan tidak konsisten oleh Amerika Syarikat. Ini hanya menambah ketidakpercayaan terhadap proses tersebut,” katanya.
Menurut beliau, Iran masih menjalankan siasatan berhubung insiden terhadap kapal di Selat Hormuz bagi menentukan sama ada ia melibatkan pihak Tehran atau sebaliknya.
Baqaei juga menegaskan bahawa Iran tidak akan berunding mengenai keupayaan pertahanan negara, termasuk isu berkaitan ketenteraan dan keselamatan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pakistan masih memainkan peranan sebagai pengantara utama dalam rundingan tidak langsung, manakala komunikasi dengan China dan Rusia terus berjalan secara berterusan.
Iran turut menolak cadangan pemindahan uranium diperkaya ke luar negara, dengan menyifatkan program nuklear negara itu sebagai simbol kemajuan saintifik dan kedaulatan nasional.
Mengulas isu Selat Hormuz, Tehran menegaskan bahawa tindakan mereka adalah berdasarkan hak mempertahankan diri serta undang-undang antarabangsa, sambil menuduh Amerika Syarikat dan Israel menjadi punca ketegangan di rantau tersebut.
Secara keseluruhan, Iran mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap proses diplomasi dengan Washington dan menegaskan bahawa sebarang keputusan masa depan akan dibuat berdasarkan kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.


