POLIS mengesahkan menerima maklumat berhubung video tular memaparkan empat individu mengasari seorang pembantu rumah warga asing yang didakwa memukul anak majikannya yang masih kecil.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menjalankan risikan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Ia masih dalam proses risikan,” katanya ringkas lapor Buletin TV3
Terdahulu, video kejadian yang tular di media sosial itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Video terbabit dipercayai dirakam di kediaman majikan mangsa, dengan seorang lelaki yang dipercayai majikan dilihat mengasari wanita itu sehingga kedengaran suara tangisan.
Tiga individu lain termasuk dua wanita turut dilihat bergilir-gilir memarahi mangsa sambil meninggikan suara dan memakinya.
Rata-rata pengguna media sosial mengutuk perbuatan sebagai tidak berperikemanusiaan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
Netizen juga berkata sepatutnya pembantu rumah itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut jika benar memukul anak majikan, dan bukannya dihukum sesuka hati.
Menurut maklumat yang dikongsikan di platform Thread, kejadian itu didakwa berlaku di Taman Daya, Johor Bharu
Gambar yang dipercayai menunjukkan pembantu rumah terlibat turut tular di media sosial, dengan mangsa dikatakan mengalami kesan lebam pada bahagian wajah, leher dan telinga.






