JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita lima kenderaan mewah bernilai kira-kira RM2.2 juta dalam Op Luxury yang dijalankan di Melaka minggu lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, tindakan itu diambil selepas Lesen Kenderaan Motor (LKM) didapati tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans sah.
Kenderaan terlibat ialah Toyota Vellfire, BMW 523i, BMW X6 xDrive, Mercedes-Benz C250 CGI dan Mercedes-Benz E250 Avantgarde.
Menurutnya, operasi selama tiga hari bermula 14 April itu melibatkan pemeriksaan rambang di beberapa lokasi termasuk Jalan Taman Sentosa, Jalan Padang Keladi, Jalan Taman Merak Mas dan Jalan Bukit Senjuang.
“Hasilnya, lima kenderaan mewah disita yang dipandu lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 67 tahun.
“Semakan lanjut turut mendapati dua pemandu masing-masing berusia 53 dan 46 tahun tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
Katanya, semua kenderaan yang disita dibawa ke Depoh Sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.


