SEBANYAK 42 kenderaan mewah import disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas Ops Terma yang dijalankan kira-kira sebulan bermula 5 Januari hingga 6 Februari lalu.
Dalam 341 pemeriksaan ke atas gudang-gudang yang diberikan lesen oleh JKDM itu serta rondaan darat di seluruh negeri ini, kenderaan yang disita merekodkan nilai sitaan melebihi RM7.66 juta dan nilai cukai lebih RM14.36 juta.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, sebanyak 21 kes dibuka untuk siasatan dengan empat tangkapan dibuat membabitkan pemilik syarikat yang mana semuanya lelaki warga tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun.
Beliau berkata, antara kenderaan mewah yang disita adalah jenama Mercedes Benz, BMW, Toyota dan Lexus yang mana diimport antaranya dari Jepun dan United Kingdom (UK).
“Hasil penguatkuasaan yang dibuat menerusi operasi ini, nilai keseluruhan kenderaan disita berjumlah RM7,663,970 dengan jumlah cukai terbabit sebanyak RM14,368,334.
“Secara keseluruhan, anggaran nilai sitaan termasuk cukai adalah sebanyak RM22,032,304,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor Bahru hari ini, lapor Berita Harian.
Aminul Izmeer berkata, antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Terma adalah kenderaan yang diimport secara tidak sah termasuk kenderaan import dari Singapura yang dibawa masuk tanpa permit import yang sah.
“Kita juga mengambil tindakan ke atas kenderaan yang diimport dan disimpan melebihi tempoh masa dibenarkan sebelum membayar cukai.
“Mengikut syarat, kenderaan yang diimport boleh disimpan di gudang selama 24 bulan, bagaimanapun sekiranya mereka memohon untuk lanjutan tempoh simpanan, ia hanya akan dibenarkan selama 48 bulan dan sekiranya melebihi tempoh ini, mereka perlu membayar cukai.
“Antara kesalahan lain yang diambil tindakan dalam operasi ini apabila pihak terbabit membawa keluar kenderaan yang di bawah kawalan kastam ini tanpa izin yang sah,” katanya.


