POLIS mengesahkan video tular yang memaparkan insiden tangkapan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, di Kulim berkaitan dengan Operasi Ronda Cegah Jenayah pagi tadi.
Rakaman berdurasi 29 saat itu menunjukkan suspek ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum ditahan oleh anggota polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek berusia 32 tahun pada awalnya dikesan di Jalan Sungai Ular sebelum bertindak agresif.
Beliau berkata, suspek menendang motosikal anggota polis dan cuba melarikan diri dengan menunggang secara melulu termasuk melawan arus sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Anggota polis kemudian mengejar suspek sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya menahan suspek di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Mohd Faisal, hasil pemeriksaan ke atas motosikal suspek menemukan dua bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi air rebusan daun ketum.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan polis percaya suspek menunggang dalam keadaan di bawah pengaruh bahan terlarang.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah,” katanya.
Menurutnya lagi, tindakan suspek menunggang secara berbahaya turut mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim esok bagi permohonan reman, katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.


