SEORANG ibu tunggal ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat dengan rakan sepejabat lelaki berstatus suami orang di sebuah pangsapuri di Johor awal pagi tadi.
Menurut JAINJ dalam kenyataan, serbuan dilakukan kira-kira jam 3 pagi hasil aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan di kediaman berkenaan.
“Sebaik tiba, penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan dibuka tidak sampai lima minit kemudian seorang lelaki dipercayai berusia hanya belasan tahun.
“Apabila ditanya siapa lagi yang berada di rumah, dia menjawab ada ibunya yang sedang tidur di dalam bilik utama.
“Namun, apabila ditanya ibunya bersama siapa, lelaki itu tidak boleh menjawab, menyebabkan kita terus mengetuk pintu bilik utama dan dibuka dua minit kemudian oleh seorang wanita iaitu ibu kepada lelaki berkenaan,” katanya.
JAINJ berkata, selepas lampu bilik dihidupkan, didapati seorang lelaki lain sedang berbaring di katil, namun apabila disuruh bangun, lelaki itu tidak terus bangun kerana tidak berpakaian.
Katanya, wanita berkenaan pula hanya berbaju tidur tanpa pakaian dalam dan selepas lelaki itu memakai pakaian, soal siasat diteruskan.
“Hasil soal siasat, pasangan berkenaan mengaku hanya rakan sepejabat dan bukan suami isteri. Lelaki itu berusia lingkungan 30-an serta sudah berkahwin dan mempunyai anak, manakala wanita berkenaan juga berusia 30-an,” katanya.
JAINJ berkata, lelaki terbabit dipercayai sering datang ke rumah itu selepas tengah malam dan mereka dikatakan sudah lama menjalinkan hubungan.
Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat.


