Seorang wanita warga Indonesia cuba bersembunyi dengan menyorok di dalam selimut bagi mengelak dikesan ketika bilik hotel yang disewanya bersama teman lelaki diserbu penguat kuasa agama, semalam.
Difahamkan, wanita berstatus janda itu bekerja sebagai pembantu rumah dan mengambil kesempatan keluar bertemu teman lelakinya ketika majikannya pulang ke kampung.
Lelaki terbabit yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai buruh dipercayai sanggup menaiki bas dari ibu negara ke Johor Bahru semata-mata untuk bertemu pasangannya.
Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), ketika operasi dijalankan kira-kira jam 1 pagi, anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik hotel sebelum dibuka seorang lelaki lima minit kemudian.
“Selepas lampu bilik dibuka, kelihatan seperti individu ‘berbungkus’ dalam selimut. Apabila ditanya, wanita itu perlahan-lahan menarik selimut lalu menampakkan wajahnya.
“Hasil soal siasat mendapati pasangan terbabit bukan suami isteri dan sudah lama berkenalan sebelum mengatur pertemuan di hotel berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasangan itu turut memaklumkan hasrat untuk bernikah di negara asal, namun tertangguh disebabkan kekangan kewangan dan beberapa faktor lain.
“Kedua-duanya ditahan dan direkodkan keterangan sebelum disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.


