HARGA diesel di Semenanjung Malaysia akan diturunkan sebanyak 85 sen bermula esok, manakala petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun sebanyak 25 sen dan 15 sen di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan memaklumkan harga RON97 ditetapkan pada RM4.85 seliter, berbanding RM5.10 seliter sebelum ini.
Sementara itu, harga RON95 tanpa subsidi akan turun daripada RM4.02 seliter kepada RM3.87 seliter.
Harga diesel di Semenanjung pula ditetapkan pada RM5.12 seliter, berbanding RM5.97 seliter sebelum ini.
Bagi petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95, harga kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Petrol bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal pada RM2.15 seliter.
Harga-harga ini berkuat kuasa sehingga 29 April.
Kementerian menyatakan penurunan harga ini susulan kejatuhan harga minyak global, namun menegaskan bahawa harga masih tinggi berbanding sebelum perang Iran.
“Walaupun harga minyak global menurun, ketidaktentuan dalam pasaran tenaga masih berterusan dan pemulihan penuh bekalan tidak akan berlaku serta-merta.
“Terdapat juga gangguan kepada kemudahan pengeluaran di Asia Barat, manakala rantaian bekalan global memerlukan masa untuk kembali stabil,” menurut kenyataan itu.
Namun begitu, kerajaan akan terus mengambil langkah berhemah bagi memastikan rakyat Malaysia tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global.


