TUJUH warga asing dipercayai kerugian lebih RM31 juta susulan menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan antarabangsa.
Peguam mewakili semua mangsa, Andy Yeoh yang mewakili empat warga China, dua Taiwan, dan seorang Korea Selatan, berkata mereka terperdaya dengan tawaran sebuah syarikat yang menjalankan skim pelaburan dalam talian dikenali sebagai ‘High Inspirations’, menjanjikan kadar pulangan pelaburan lima peratus bagi setiap transaksi.
Katanya, terdapat lebih 300 mangsa lain yang turut berhasrat menuntut kembali wang pelaburan mereka.
“Anak guam kami telah diperkenalkan kepada platform ini yang dikatakan sebagai platform sah yang mampu menjana pendapatan konsisten.
“Skim pelaburan ini mula beroperasi pada 2018 sebelum kemudahan pengeluaran wang pelabur secara tiba-tiba dihentikan bermula Sept 2021, manakala platform itu ditutup sepenuhnya pada Ogos tahun lepas,” katanya menurut Bernama.
Seorang mangsa warga Taiwan, Liu Chun Kuang, 58, berkata mangsa skim penipuan itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemilik perniagaan kecil dan pekerja yang melabur menggunakan wang simpanan mereka.
“Kami memohon kerajaan Malaysia untuk menyiasat sindiket pelaburan ini dan membantu mendapatkan semula keadilan bagi pihak pelabur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Cheras Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya telah menerima tujuh laporan berkaitan kes tersebut, hari ini.


