SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua peguam sebuah syarikat guaman yang disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk pengeluaran dana pemegang amanah bagi satu projek pembangunan hartanah di ibu negara berjumlah kira-kira RM8 juta untuk kepentingan peribadi dan pelaburan.
Perintah reman selama empat hari sehingga 25 April depan terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 9.45 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025.
“Wang berjumlah kira-kira RM8 juta iaitu wang amanah yang sepatutnya digunakan bagi penyelenggaraan sebuah bangunan dipercayai masih belum diserahkan kepada pihak pemaju,” kata sumber itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek terbabit dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


