‘Kita tidak akan biar mereka sendirian, kita hadir dengan bantuan’’ – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mendoakan semoga Allah SWT mengangkat segala kesulitan mangsa-mangsa kebakaran di Sandakan dan menguatkan hati yang diuji serta membuka jalan lebih baik buat mereka.

Melalui akaun Telegram beliau, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan membiarkan mereka bersendirian.

‘’Dalam ujian ini, kita tidak akan membiarkan mereka bersendirian. Kita hadir dengan bantuan, doa, dan tekad untuk memastikan mereka kembali bangkit meneruskan kehidupan,’’ katanya.

Anwar berkata, semalam beliau turun ke Sandakan untuk menyantuni mangsa kebakaran yang kehilangan segalanya dalam sekelip mata.

‘’Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam, dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada. Ini bukan sekadar ujian, tetapi derita yang menyayat hati.

‘’Namun di celah duka yang begitu berat, saya menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu ketabahan. Mereka tidak rebah, sebaliknya terus bertahan,’’ katanya.

Beliau berkata, sumbangan segera telah dan sedang digerakkan meliputi bantuan wang ihsan untuk keluarga dan pelajar sekolah, keperluan asas, tempat perlindungan sementara serta sokongan berterusan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri.

‘’Usaha juga sedang dipercepat bagi memastikan mereka dapat kembali hidup dalam keadaan yang lebih selamat dan bermaruah, termasuk memastikan anak-anak segera kembali ke sekolah,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga  sedar, dalam kalangan mangsa ada yang bukan warganegara. 

‘’Namun dalam saat getir seperti ini, kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan. Kita bantu setakat yang terdaya meliputi makan, minum, tempat berteduh dan keselamatan,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img