OPERASI di Balai Polis Kepala Batas masih berjalan seperti biasa walaupun kebakaran awal pagi tadi memusnahkan sebahagian besar bilik server premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, orang awam masih boleh berurusan meskipun bekalan elektrik terjejas dan sebahagian ruang dalaman ditutup sementara.
Menurutnya, langkah segera telah diambil termasuk penyediaan Balai Polis Bergerak serta dua unit generator bagi memastikan kelangsungan operasi.
“Sepanjang gangguan sistem, laporan polis diteruskan secara manual menggunakan Borang PDRM 55 dengan anggota ditempatkan untuk mengendalikan urusan orang awam,” katanya ketika dihubungi, lapor TV3.
Terdahulu, sebuah bilik server di Balai Polis Kepala Batas di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 1.56 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.
Kebakaran disedari oleh anggota bertugas di kaunter pertanyaan sebelum tindakan segera diambil bagi mengawal keadaan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Gerakan Polis Kedah sebelum sebuah jentera bersama dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) digerakkan ke lokasi.


