SEBUAH bilik server di Balai Polis Kepala Batas di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 1.56 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.
Kebakaran disedari oleh anggota bertugas di kaunter pertanyaan sebelum tindakan segera diambil bagi mengawal keadaan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Gerakan Polis Kedah sebelum sebuah jentera bersama dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kebakaran melibatkan sebuah premis kerajaan dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 80 peratus dalam ruang bilik berkenaan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan salur bantu mula menggunakan sumber air daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.15 pagi sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.
“Operasi melibatkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dengan bantuan pihak polis.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.


