Penguat kuasa terlibat rasuah lepaskan kontena bermasalah, SPRM beku 133 akaun RM185 juta

BEBERAPA pegawai penguat kuasa disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah dengan melepaskan kontena bermasalah dikenal pasti susulan siasatan terhadap sindiket pengisytiharan palsu barangan import.

Sumber berkata, perkembangan itu diperoleh hasil siasatan berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini giat membongkar rangkaian sindiket berkenaan.

‘’Setakat ini SPRM telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan melibatkan pengimport, ejen penghantaran serta orang tengah. Siasatan menjurus kepada kegiatan membuat pengisytiharan palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke negara ini kepada pihak kastam.  Taktik itu dipercayai digunakan bagi mengelakkan atau mengurangkan bayaran duti import,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata,  Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah melaksanakan operasi bersepadu sejak 21 April lalu menerusi Op Celio.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sejak Selasa lalu, sebanyak 26 lokasi telah digeledah membabitkan premis syarikat dan kediaman suspek di sekitar Lembah Klang. Operasi diteruskan hari ini di Pulau Pinang dan Kelantan dengan menyasarkan dua lagi premis yang melibatkan pihak consignee,” kata sumber tersebut.

Kata sumber itu, SPRM juga akan merakam keterangan individu lain termasuk daripada pihak consignee dan ejen penghantaran bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika mengesahkan perkara itu berkata, setakat ini sebanyak 133 akaun milik individu dan syarikat telah dibekukan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM185 juta.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img