POLIS sedang giat mengesan suspek dipercayai terbabit dalam cubaan mencuri kabel di Taman Damai Jaya, Skudai selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 5 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di tepi jalan di kawasan Taman Damai Jaya.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan tiga gulung kabel milik Telekom Malaysia yang telah dipotong dengan anggaran panjang kira-kira 15 meter yang gagal dilarikan oleh suspek.
“Nilai keseluruhan kabel yang dirampas dianggarkan sebanyak RM5,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan mencuri, serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan kerosakan kemudahan rangkaian,” katanya.
Terdahulu, tular dua rakaman video berdurasi hampir tiga minit yang dimuat naik di media sosial memaparkan sekumpulan individu dipercayai cuba mencuri kabel di kawasan berkenaan.


