SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh tembok batu di Jalan Song Ban Kheng, di Bukit Mertajam pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika wanita itu yang berusia 30 tahun membawa tiga orang anak menaiki motosikal, dpercayai untuk menghantar dua anak perempuannya ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Senior Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 7.45 pagi.
“Kanak-kanak dua tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat kecederaan di kepala. Ibunya juga mengalami kecederaan pada kepala.
“Dua lagi anaknya iaitu kanak-kanak perempuan tujuh tahun mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital sama manakala kanak-kanak perempuan lima tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Helmi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


