Malaysia satu-satunya negara ASEAN tidak catu bekalan bahan api

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang tidak melaksanakan catuan bekalan bahan api tatkala dunia berdepan dengan krisis bekalan global.

Menurut Perdana Menteri, ketika ini terdapat beberapa negara jiran di rantau Asia Tenggara yang mula melaksanakan langkah berkenaan, malah ada yang menutup hingga 400 stesen minyak akibat kehabisan bekalan.

“Minyak RON95 diberikan dengan kos yang paling rendah di dunia RM1.99 seliter. Harga diesel tinggi tetapi untuk petani, nelayan, bas sekolah, pengangkutan semuanya diturunkan.

“Berapa kos RON95 negara jiran? Ada yang mencecah RM10.50 seliter, ada yang RM4, ada yang RM6. Kita berapa? RM1.99,” kata beliau sambil menjelaskan kerajaan menanggung subsidi berbilion ringgit sebulan supaya tidak membebankan rakyat.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di Johor Bahru hari ini.

Anwar memberitahu, perkara ini dapat dilakukan berikutan langkah awal yang diambil kerajaan, termasuk penyasaran subsidi dan hubungan baik dengan Iran yang membolehkan kapal Malaysia membawa bahan api melalui Selat Hormuz.

“Mana ada negara yang dilepaskan tangki minyak melalui Selat Hormuz. Itu pun ada pemimpin parti politik pembangkang cakap tak ada lalu Selat Hormuz, inilah tidak ada sikap tawaduk untuk mencari fakta,” kata beliau.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas juga memutuskan untuk menambah bilangan anggota polis dan penguat kuasa bagi mengawal sempadan negara, susulan kes penyeludupan yang tinggi di kawasan berkenaan.

“Minyak kita terlalu murah dan penyeludupan terlalu tinggi, bila seludup ini maknanya wang negara keluar jadi kita terpaksa kawal kerana berbilion ringgit hilang kerana penyeludupan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut memberikan taklimat kepada beberapa pihak termasuk menteri, ketua menteri, menteri besar dan premier Sarawak berhubung langkah yang perlu diambil bagi berhadapan situasi ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya memahami isu ekonomi dan geopolitik semasa agar tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat dalam media sosial.

Dalam pada itu, Anwar berkata, krisis bekalan global turut menyebabkan Australia meminta bekalan diesel daripada Malaysia menerusi pertemuan dengan Perdana Menteri Anthony Albanese dalam lawatan rasminya ke negara ini, baru-baru ini.

Perkara itu antara yang dibincang selaras dengan hubungan baik antara kedua-dua negara, dengan Malaysia turut membeli baja fosfat untuk peladang Felda dari negara berkenaan.

“Beliau (Albanese) berbincang, boleh tidak ambil diesel dari Malaysia, saya katakan diesel tidak ada, minyak (diesel) kalau ada lebih, kita boleh eksport,” kata beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img