SEORANG lelaki warga China yang memandu secara melawan arus di Jalan Lencongan Barat di Sungai Petani dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.
Kejadian itu tular di media sosial hari ini apabila kenderaan dipandu lelaki terbabit dirakam bergerak dalam keadaan membahayakan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 malam tadi membabitkan dua kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 50-an yang dipercayai pengarah sebuah syarikat itu memandu sebuah Perodua Myvi secara melawan arus sejauh kira-kira 500 meter.
“Akibat kejadian itu, kenderaan dipandu lelaki berkenaan bertembung dengan sebuah kereta lain di lokasi kejadian.
“Pemandu warga China itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan polis sedang mengesan warisnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 45C(6) akta sama kerana enggan memberikan sampel nafas atau darah ketika diminta polis.
Hanyan berkata, suspek dilaporkan mengalami luka ringan di muka dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim.
“Pemandu sebuah lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.


