PEMANDU kereta warga China yang memandu melawan arus dan dipercayai di bawah pengaruh alkohol sehingga bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani, malam kelmarin direman empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia lingkungan 50-an itu direman bermula hari ini hingga 1 Mei ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45(C)(6) akta sama.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga China yang memandu melawan arus dikesan berada di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah kereta lain.
Lelaki terbabit yang juga pengarah sebuah syarikat mengalami luka kecil di muka, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.


