OBJEK menyerupai tugu yang dicat dengan warna bendera Bangladesh di sekitar Bukit Bintang yang tular di media sosial baru-baru ini, sudah dirobohkan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, tindakan segera telah diambil bagi menangani isu berkenaan.
“Tugu berkenaan sudah dibuang,” katanya ringkas.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan sekumpulan warga asing berkumpul di sekitar objek berwarna hijau dengan bulatan merah di tengahnya, menyerupai bendera Bangladesh.
Difahamkan, objek itu didakwa dijadikan lokasi berkumpul termasuk melakukan ‘tabik hormat’ oleh warga asing, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Pihak berkuasa bagaimanapun bertindak pantas membersihkan kawasan terbabit bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau spekulasi lanjut.


