PELANCARAN Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei,malam ini bukan sekadar lambang kemajuan teknologi, tetapi manifestasi kesungguhan Malaysia untuk mengangkat darjatnya sebagai negara peneraju dalam era kecerdasan buatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh lagi selesa sebagai pengguna, sebaliknya mesti bangkit sebagai pencipta dan penentu arah, dengan keberanian membina kekuatan sendiri serta memanfaatkan bakat anak tempatan secara tuntas.
‘’Dalam keghairahan dunia mengejar kecanggihan AI, kita tidak boleh alpa bahawa kemajuan tanpa nilai hanya akan meruntuhkan makna pembangunan itu sendiri.
‘’Justeru, prinsip keadilan, ihsan dan keseimbangan sosial mesti kekal terpahat sebagai asas, agar teknologi ini memanfaatkan manusia secara menyeluruh, bukan menjarakkan lagi jurang yang sedia ada,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memastikan transformasi digital ini bersifat inklusif dan berteraskan rakyat, merapatkan jurang antara bandar dan desa, membuka ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang, serta menjamin setiap lapisan masyarakat merasai manfaatnya secara adil dan saksama.
‘’Dalam masa sama, Malaysia kekal terbuka kepada kerjasama global, namun dengan pendirian yang tegas bahawa setiap langkah mesti dipacu menurut acuan kita sendiri, berteraskan nilai, demi masa depan yang lebih maju, berdaulat dan bermaruah,’’ katanya.


