UMNO menyasarkan untuk menjadi induk kestabilan politik negara dalam tempoh dua puluh tahun akan datang, menjelang usia parti itu yang ke-100 tahun.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran jangka panjang itu penting supaya generasi masa hadapan dapat menjadikannya sebagai landasan kukuh untuk berbakti dan berkhidmat.
“Setelah kita menelusuri perjalanan panjang UMNO daripada krisis ke krisis, daripada anjakan ke anjakan, kita mesti memandang ke hadapan dan memperkukuhkan langkah.
“Bukan sekadar lima tahun, bukan sekadar satu pilihan raya tetapi dua puluh tahun yang mendatang, menjelang usia UMNO yang ke-100 tahun. Kita mesti mempasakkan asas yang jelas, bersulamkan pengajaran sejarah yang tuntas,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, dalam tempoh dua dekad mendatang itu juga, UMNO diharap dapat memperkasa dakwah bagi memelihara akidah, menegakkan syariah dan memuliakan akhlak anak bangsa.
“Saya juga berhasrat menjadikan UMNO menjadi satu kilang bakat atau talent factory yang melahirkan cendekiawan, pakar pelbagai bidang dan intelektual berkemahiran yang menguasai teknologi masa depan.
“UMNO turut dihasratkan supaya dapat menyatukan fikrah kepimpinan bangsa Melayu dan dapat menyuburkan budaya ilmu dan tafaqquh untuk merencana dasar dan membentuk kefahaman umat,” ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, semua itu bukan berkisar tentang memenangkan pilihan raya semata-mata, tetapi untuk melahirkan pewaris bangsa yang penuh roh dan jiwa kemelayuannya.
Kata beliau, ia kerana kejayaan sesebuah perjuangan tidak hanya diukur pada kekuatan institusi, tetapi kualiti manusia yang dibentuk untuk membina agama, bangsa dan negara.
“Menjelang ulang tahun UMNO ke-100 nanti mungkin saya tiada lagi di dunia ini namun saya mengimpikan Melayu yang tidak luntur jiwa keislamannya. Benar-benar memahami rukun agama, tidak terpisah dari jasad dan rohnya.
“Saya mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati dirinya, menjaga maruah, tinggi adab dan mulia akhlaknya. Saya mengimpikan Melayu yang menjadi inventor, mencipta idea, mencipta nilai dan memangkin kemajuan nusa dan bangsa,” tambah beliau.
Kata Ahmad Zahid lagi, beliau juga menaruh impian untuk melihat Melayu yang bersepakat, menenun jaringan dan berpaut pada satu kekuatan.
“Saya mengimpikan Melayu yang menjadi ikutan, menjadi tunjang kepada negara majmuk yang rencam, berbilang latar dan lapisan,” ulasnya.
“Inilah generasi Melayu yang kita semua dambakan, berakar pada iman, berakal dalam tindakan, berdaya dalam ciptaan, berjiwa besar dalam perjuangan dan bersatu dalam kepimpinan.


