TINDAKAN seorang lelaki yang memiliki 29 rekod lampau menggunakan kad debit milik orang lain yang tercicir untuk membeli minuman keras membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Muar, hari ini.
Tertuduh, Ee Cha Seng, 39, yang baru dua bulan dibebaskan daripada kesalahan dadah, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa menyalahgunakan harta milik lelaki berusia 30 tahun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ali pada jam 2.19 dan 2.20 petang, 27 April lalu.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebatan serta denda.
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas menerima dua notifikasi transaksi tidak sah berjumlah RM30 dan RM63.90 melalui aplikasi bank di telefon bimbitnya.
Mangsa kemudian menyedari dompetnya hilang sebelum menerima satu lagi notifikasi percubaan transaksi di sebuah restoran makanan segera di Jalan Bakri, namun gagal kerana baki tidak mencukupi.
Mangsa bergegas ke restoran berkenaan dan menemui tertuduh yang sedang menggunakan kad debit miliknya.
Siasatan lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka mendapati tertuduh menggunakan kad itu untuk membeli enam tin arak bernilai RM93.90.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasmin Md Piah manakala tertuduh diwakili peguam Tee Xin Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan serta denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan.
Namun, tertuduh gagal membayar denda itu dan dikenakan tambahan dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan hukuman 12 bulan penjara dan dua sebatan.


