TAKTIK dua lelaki menjadikan kawasan sunyi termasuk jirat Cina sebagai lokasi memindahkan diesel secara haram terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan semalam.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu ditahan sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kira-kira jam 2 petang di kawasan jirat Cina di Sungai Pasir dekat Sungai Petani.
Ketika serbuan, mereka didapati sedang memindahkan diesel daripada sebuah lori kargo yang dilengkapi tangki IBC ke dalam lori tangki.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah, Zalina Aziz berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bagi menyimpan barang kawalan berkenaan.
“Sehubungan itu, pihak KPDN menyita kira-kira 2,900 liter diesel bernilai RM44,848.
“Turut disita ialah lori kargo, lori tangki, dua tong IBC serta peralatan pemindahan diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM165,248,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan taktik memindahkan diesel yang dikumpul menggunakan lori ke tangki IBC yang ditutup kanvas sebelum dipindahkan ke lori tangki.
Menurutnya, kawasan sunyi seperti tanah perkuburan Cina dipilih bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, mereka dipercayai sindiket sama yang pernah ditangkap KPDN pada 9 April lalu.
“Berkemungkinan diesel ini hendak dijual kepada pihak industri berikutan harga yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.


