PRESIDEN sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas tuduhan membuat tohmahan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengaitkan institusi itu dengan bayaran tunggakan pembinaan masjid, tiga minggu lalu.
Mohd Ridzuan Abdullah, 58, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.
Ahli perniagaan terbabit didakwa membuat tohmahan yang akan merosakkan reputasi MAIS di Bangunan Perdana, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira jam 1 petang pada 13 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Perkataan itu mengaitkan kontraktor, MAIS dan masjid dengan tunggakan hutang, selain dakwaan mempergunakan nama istana.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Sazali Omar yang mengendalikan kes itu menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam T Ravindran yang mewakili tertuduh merayu jumlah minimum kerana tertuduh tiada pendapatan tetap dengan hanya dan hanya menjual produk kesihatan serta pernah dijangkiti virus, Jun tahun lalu.
“Tertuduh menyara keluarga bersama isteri seorang suri rumah. Dia adalah bekas calon Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022, sekali gus menunjukkan dia akan memenuhi semua syarat ditetapkan mahkamah,” katanya.
Ezrene kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Jun depan.
Pada 16 April lalu, MAIS memaklumkan mahu mengambil tindakan termasuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah di Subang, Selangor.
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata demikian selepas tular video di aplikasi TikTok mendakwa berlaku tunggakan bayaran dan salah urus dalam majlis itu.


