Krisis politik Negeri Sembilan: ADUN Gemas ambil pendirian berkecuali

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad mengumumkan beliau mengambil pendirian berkecuali berhubung perkembangan semasa politik di Negeri Sembilan susulan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini.

Wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) Bersatu itu memberitahu, pendirian ini diambil setelah mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat serta kestabilan negeri dan negara secara keseluruhan.

“Adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan bahawa keadaan politik kekal stabil dan tidak menjejaskan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam suasana semasa yang mencabar.

“Saya berpandangan bahawa penukaran kepimpinan kerajaan negeri pada waktu ini adalah tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan yang merugikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 April lalu, semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan dibuat susulan krisis didakwa membabitkan institusi Perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Pada petang yang sama, PN Negeri Sembilan turut mengadakan sidang media memaklumkan sedia bekerjasama dengan 14 ADUN BN bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri susulan krisis kepimpinan didakwa melanda pentadbiran sedia ada.

Ketua Pembangkang, Mohd Hanifah Abu Baker dilaporkan berkata, lima ADUN PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan mereka.

Ridzuan dalam pada itu berkata, sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum akan datang dan bukannya dilakukan dalam keadaan semasa yang boleh mencetuskan ketidaktentuan.

Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama semua pihak seharusnya tertumpu kepada isu-isu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, kata Ridzuan, pendirian berkecuali ini adalah selari dengan prinsipnya untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek.

“Saya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan memberi fokus sepenuhnya kepada kebajikan rakyat, kekal wakil rakyat pembangkang untuk menjadi sebagai semak dan imbang segara dasar kerajaan Negeri Sembilan,” tegasnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img