Kerajaan lulus RM48 juta bantu pesawah, tangani kemarau Kedah

KERAJAAN meluluskan peruntukan sebanyak RM48 juta bagi membantu kira-kira 240,000 pesawah berdaftar, yang terkesan akibat kenaikan kos dan musim kemarau yang berpanjangan di negeri utara, terutamanya Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedar golongan pesawah dan peladang kini berdepan kesukaran, susulan cuaca kering yang lebih panjang daripada biasa.

Justeru itu, langkah pembenihan awan telah dipertingkatkan dengan penglibatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kita sedar di utara Kedah terutamanya menghadapi musim kemarau yang agak lebih panjang daripada biasa. Itu menyebabkan kesukaran peladang dan juga pesawah.

“Kita telah mengarahkan pembenihan awan ditingkatkan oleh TUDM dan saya juga minta bomba yang punyai keupayaan yang relatif lebih kecil, tetapi meneruskan kegiatan dalam beberapa hari ini,” katanya dalam sidang media khas berkaitan Krisis Bekalan Global di Putrajaya, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar berkata, kerajaan meningkatkan kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut bersetuju memberi bayaran pendahuluan sebanyak RM200 kepada pesawah.

Jelasnya, langkah itu penting memandangkan pesawah perlu menyewa jentera pembajakan dan memerlukan modal awal bagi meneruskan aktiviti penanaman.

Beliau berkata, bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada golongan pesawah dalam memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img