DUA bekas Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe dan Li Shangfu, dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan selama dua tahun atas tuduhan rasuah, menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua pada hari ini.
Keputusan itu sekali gus menonjolkan lagi kempen pembersihan besar-besaran dalam institusi ketenteraan negara tersebut.
Laporan terdahulu oleh Xinhua menyebut bahawa Li didakwa menerima sejumlah besar wang dalam bentuk rasuah selain menyogok pihak lain. Siasatan turut mendapati beliau gagal melaksanakan tanggungjawab politik serta menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi dan memberi manfaat kepada pihak tertentu.
Sementara itu, siasatan terhadap Wei yang dimulakan pada 2023 mendapati beliau menerima sejumlah besar wang dan barangan berharga sebagai rasuah serta membantu pihak lain memperoleh keuntungan tidak sewajarnya dalam urusan pelantikan jawatan.
Xinhua dalam laporannya pada 2024 menyatakan tindakan kedua-dua tertuduh adalah amat serius dan memberi kesan buruk yang besar.
Di China, hukuman mati dengan penangguhan, atau “hukuman mati tertangguh”, lazimnya akan ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup sekiranya pesalah tidak melakukan jenayah lain sepanjang tempoh penangguhan tersebut.
“Selepas pengurangan hukuman, mereka akan dipenjarakan seumur hidup tanpa kemungkinan pengurangan hukuman atau pembebasan bersyarat lanjut,” menurut Xinhua.
Laporan itu turut menyebut kedua-dua mereka dilucutkan hak politik seumur hidup dan semua harta peribadi mereka akan disita.
Wei, yang pernah menjadi komander Pasukan Roket China dari 2015 hingga 2017, digantikan oleh Li sebagai anggota Majlis Negara dan menteri pertahanan pada Mac 2023.
Li, yang dianggap antara jeneral kepercayaan Presiden Xi Jinping, pernah menyelia reka bentuk dan perolehan senjata selain memimpin agenda pemodenan ketenteraan China. Beliau juga dikenali sebagai tokoh veteran dalam program angkasa lepas negara itu dan terlibat mengawasi pelbagai misi angkasa.
Wei dan Li turut merupakan anggota Central Military Commission (CMC), iaitu badan pembuat keputusan ketenteraan tertinggi di China.


