Shamsul Iskandar rayu pindah kes ke Mahkamah Tinggi, 29 Jun tarikh sebutan semula

BEKAS Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau memindahkan lima tuduhan rasuah dihadapinya, daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen hari ini, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar memaklumkan kepada mahkamah pembelaan sudah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 6 Mei lalu.

Pada 28 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan Shamsul Iskandar dengan memutuskan beliau selaku pemohon tidak memenuhi syarat mengikut Seksyen 417 Kanun Tata Cara Jenayah.

Ketika ditanya Hakim Suzana Hussin sama ada pembelaan berhasrat memohon prosiding kes itu ditangguhkan, Amer Hamzah menjawab, pihaknya belum memuktamadkan perkara berkenaan.

“Buat masa ini, kami ikut prosiding sedia ada dan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memberitahu mahkamah, beberapa dokumen bagi perbicaraan kes sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Farah Ezlin berkata, ada beberapa dokumen lain belum diserahkan dan akan dilampirkan pada masa terdekat.

Hakim Suzana kemudian menetapkan 29 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Melalui permohonan difailkan pada 4 Februari lalu, Shamsul Iskandar melalui peguamnya menghujahkan kes rasuah terhadapnya membabitkan persoalan Perlembagaan dan isu perundangan yang kompleks.

Ia termasuk perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan menegaskan pemindahan itu tidak memudaratkan mana-mana pihak, malah akan memudahkan penentuan isu yang dibangkitkan dengan lebih teratur.

Pada 4 Disember 2025, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan bersetuju menerima RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat Albert mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tidak berkaitan dengan tugas rasminya.

Beliau juga berdepan satu lagi tuduhan menerima wang tunai RM40,000 daripada individu sama bagi tujuan sama, selain dua pertuduhan menerima rasuah kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing bernilai RM14,580.03 dan RM22,249.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024, serta antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.

Pada 5 Disember tahun lalu, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Albert di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Suapan itu didakwa dimasukkan dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan sewaan rumah di Kuala Lumpur sebagai dorongan membantu syarikat Albert mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img