ALIFF Daniel Adli, 21, membuat pengisytiharan taubat secara terbuka selepas mengakui pernah mengikuti beberapa upacara, amalan kerohanian dan rawatan alternatif yang bercanggah dengan prinsip akidah serta syariah Islam.
Pengisytiharan itu dibuat bersama ibunya, Rohizayanti Ramli dan adiknya, Nur Ranea Ezreen Adli, di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shaha Alam, hari ini.
Menerusi lafaz pengisytiharan Taubat Istitabah, Aliff mengakui perbuatannya bertentangan dengan ajaran Islam berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Aliff turut mengakui tindakannya menyebabkan kegusaran awam dan menjejaskan keamanan serta ketenteraman masyarakat.
“Saya sangat insaf, menyesali dan berjanji pada diri saya bahawa saya tidak sama sekali akan mengulangi pada bila-bila masa dengan apa pun cara yang boleh membawa kepada keadaan yang telah dinyatakan.
“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya dan meyakini akidah Islam yang jazam serta bertingkah laku mengikuti akhlak Islam,” katanya.
Pengisytiharan dan ikrar taubat itu disaksikan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Datin Dr Khadijah Khambali@Hambali.
Aliff turut menyeru individu yang pernah terpengaruh dengan amalan terdahulunya supaya menghentikannya dan kembali kepada ajaran Islam.
Sementara itu, Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pelaksanaan Istitabah bukan sekadar lafaz taubat di hadapan khalayak, sebaliknya menjadi permulaan kepada usaha memperbetulkan pegangan dan memperkukuh kefahaman agama.
Beliau berkata, taubat perlu disertai penyesalan, meninggalkan kesalahan lalu, keazaman untuk tidak mengulanginya serta komitmen mendalami ilmu daripada sumber sahih.





