KJ gesa kerajaan wujudkan semula GST, guna apa sahaja nama

BEKAS Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan kerajaan mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) denga napa sahaja nama yang sesuai.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memperkukuhkan asas percukaian negara yang disifatkan tidak mencukupi untuk menghadapi sebarang krisis ekonomi atau kecemasan pada masa depan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pandangan itu pernah disuarakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat Menteri Kewangan kira-kira setahun selepas Ahli Parlimen Tambun itu dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri, kalau satu benda yang Datuk Seri Anwar boleh buat ialah kembalikan GST. Tak payah panggil GST, panggil apa pun boleh… panggil ‘X tax’ ke? Fair and Equitable Tax ke…. Madani tax pun tak apa… sebab apa? Pendapatan kita tidak cukup,” katanya semasa menjadi ahli panel program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut serta dalam program itu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohd Noh serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Kesihatan itu berkata, sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak mampu memberikan hasil yang mencukupi kepada negara, khususnya ketika berdepan situasi luar jangka seperti pandemik Covid-19 atau konflik geopolitik di Asia Barat.

Selain itu, Khairy berkata, dakwaan bahawa GST membebankan rakyat juga tidak tepat.

Hal ini katanya, ketika sistem itu dilaksanakan, banyak barangan asas serta sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan diberikan pengecualian atau kadar sifar.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan, kerajaan perlu berani melaksanakan keputusan sukar dalam tempoh awal pentadbiran sebelum tumpuan beralih kepada persiapan pilihan raya.

“Jadi, apa yang saya nak cakap dengan ringkas adalah jangan politikkan urusan ekonomi negara.

“Disebabkan (GST) BN (Barisan Nasional) buat dulu… janganlah sebab itu, tak nak buat benda yang betul.

“Malangnya tidak ada keberanian untuk melaksanakan (GST),” tegas Khairy.

GST mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kadar enam peratus bagi menggantikan sistem SST.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img