KERAJAAN Negeri Sembilan memperuntukkan RM20.17 juta bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan menyeluruh Masjid Negeri di Seremban yang akan ditutup sementara selama 18 bulan mulai hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, projek berkenaan dilaksanakan selepas mengambil kira keadaan fizikal masjid yang semakin uzur.
Masjid berkenaan berusia hampir enam dekad, beroperasi sejak dirasmikan pada 24 November 1967 oleh Almarhum Tuanku Ja’afar Al-Haj Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
“Usaha ini bukan sahaja membabitkan penambahbaikan kemudahan sedia ada, malah bertujuan memperkukuh peranan masjid sebagai mercu tanda kebanggaan negeri dalam aspek keagamaan dan pelancongan Islam,” katanya dalam kenyataan pemakluman penutupan sementara masjid itu hari ini.
Menurut Mohd Zafir, projek naik taraf itu dijadualkan bermula pada 19 Mei 2026 dan dijangka siap pada 15 November 2027 turut mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan jemaah, kecekapan penggunaan ruang serta kemudahan mesra pengguna agar masjid itu terus relevan sebagai institusi inklusif untuk masyarakat.
“Sepanjang tempoh penutupan sementara, semua aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah, solat Jumaat, kuliah pengajian, halaqah al-Quran dan urusan perkahwinan akan dipindahkan ke Kompleks as-Sa’adah di Rahang.
“Bagi memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat, tiga lokasi alternatif turut disediakan iaitu di Ballroom Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di Aras 4, Surau Taman Permai 2 Seremban dan Surau Kampung Pondok Rasah,” katanya.
Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin memberitahu, keputusan penutupan sementara Masjid Negeri serta kebenaran mendirikan solat Jumaat di lokasi alternatif dibuat mengikut Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
Beliau berkata, ia telah diluluskan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berdasarkan Seksyen 47 enakmen sama.
“Kebenaran penutupan sementara Masjid Negeri berkuat kuasa 9 Mei 2026 bersamaan 21 Zulkaedah 1447 Hijrah, manakala kebenaran mendirikan solat Jumaat sementara di lokasi terlibat bermula pada 15 Mei 2026 bersamaan 27 Zulkaedah 1447 Hijrah.
“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di lokasi-lokasi berkenaan adalah bersifat sementara sehingga surat pembatalan dikeluarkan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
“Solat Jumaat juga hendaklah didirikan secara berterusan dengan sekurang-kurangnya 40 ahli Jumaat selain jawatankuasa surau terlibat perlu mematuhi arahan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
Selain itu, Faudzinaim menjelaskan, ahli kariah di bawah Masjid Negeri Negeri Sembilan turut dibenarkan menunaikan solat Jumaat di mana-mana lokasi alternatif yang telah ditetapkan sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan.
Untuk rekod, kerja baik pulih Masjid Negeri pernah dilaksanakan sekitar 2010 hingga 2011, namun keadaan semasa menuntut usaha penyelenggaraan yang lebih menyeluruh bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan keperluan jemaah terus terpelihara.


