JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah, mata wang dan minuman keras bernilai hampir RM1.19 juta dalam empat kes berasingan sepanjang bulan lalu.
Pengarah JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, dalam kes pertama pada 2 April lalu, pihaknya dengan kerjasama Pihak Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports KLIA menahan seorang pengembara warga Indonesia di Bangunan Satelit, Ruang Pelepasan Pintu Antarabangsa Terminal 1 KLIA kerana disyaki membawa keluar wang Malaysia tanpa pengisytiharan dan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap sebuah bagasi milik pengembara terbabit menemukan wang RM129,500 disembunyikan dalam beg plastik hitam.
“Dalam kes kedua, pihak kami membuat rampasan minuman keras pelbagai jenama yang tidak mempunyai setem cukai dan disyaki tidak berkastam berjumlah 17,043.60 liter membabitkan nilai rampasan RM221,566.80.
“Ia juga membabitkan nilai kehilangan duti dan cukai kepada kerajaan sebanyak RM430,835.64. Rampasan itu dilakukan di sebuah premis di Seri Kembangan pada 23 April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, dalam kes ketiga pada 24 April lalu, pihaknya dengan kerjasama AVSEC Malaysia Airports KLIA menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki cuba menyeludup keluar dadah di pintu pelepasan antarabangsa Terminal 1 KLIA.
Beliau berkata, penahanan itu dilakukan ketika individu terbabit mahu menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Hong Kong dan hasil imbasan terhadap bagasinya mengesan imej mencurigakan disyaki dadah.
“Pemeriksaan lanjut menemukan ketamin dianggarkan seberat 3.6719 kilogram bernilai RM183,595. Modus operandinya menggunakan bagasi kabin untuk mengedar dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Zulkifli berkata, dalam kes keempat, pihaknya menahan dua wanita tempatan di pintu pelepasan antarabangsa Terminal 1 KLIA dengan kerjasama AVSEC pada jam 5.17 petang, 27 April lalu.
Katanya, penahanan dibuat ketika dua wanita itu mahu menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Taipei, Taiwan dan hasil imbasan bagasi mereka mendapati imej mencurigakan disyaki dadah.
“Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi kabin mereka menemukan dadah ketamin dianggarkan seberat 4.4836 kilogram bernilai RM224,180,” katanya.
Beliau berkata, rampasan dalam kejayaan membanteras semua kes penyeludupan itu bernilai RM1,189,677.44 dan empat kes berkenaan masing-masing disiasat mengikut Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 serta Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


