KETUA Umum Projo, Budi Arie Setiadi, mengesahkan khabar mengenai peletakan jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden Indonesia.
Pengesahan itu disampaikan Budi Arie menerusi mesej ringkas kepada media Republika hari ini, ketika ditanya mengenai kesahihan berita berkenaan.
Menjawab pertanyaan itu, Budi Arie memberikan jawapan ringkas, “Betul”.
Sebelum ini, pada Selasa, Menteri Sekretaris Negara Indonesia, Prasetyo Hadi, dalam sidang media di Istana Presiden, Jakarta, mendedahkan bahawa Gibran telah menyampaikan hasrat untuk meletakkan jawatan kepada Presiden Prabowo Subianto.
Menurut Prasetyo, perkara itu disuarakan Gibran ketika pertemuan bersama Prabowo.
“Memang tentunya Bapak Wakil Presiden dengan Bapak Presiden Prabowo Subianto menyampaikan niat untuk mengundurkan diri untuk menghadapi dinamika yang berkembang mengenai putusan di Mahkamah Konstitusi (Perlembagaan) dan Mahkamah Agung,” katanya.
Dalam kesempatan itu, Prasetyo turut menjelaskan bahawa dakwaan kononnya Prabowo menolak hasrat Gibran untuk meletakkan jawatan adalah tidak benar.
Sebaliknya, menurut beliau, Prabowo memberikan beberapa pandangan dan nasihat dalam perbincangan berkenaan.
Prasetyo berkata, Gibran memohon diberikan peluang untuk membuktikan kesahihan dokumen berkaitan di Pengadilan Tinggi Tata Usaha Negara (PTTUN).





