SEORANG mekanik maut dirempuh lori ketika membantu menukar tayar sebuah treler yang pancit di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat di Temerloh hari ini.
Kejadian yang berlaku pada pukul 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa,48 tahun dari Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dua pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu treler jenis CAMC berhenti di lorong kecemasan kerana tayar belakang pancit.
“Ketika kejadian, mangsa sedang memeriksa untuk menukar tayar itu. Lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama bergesel dengan treler tersebut sebelum melanggar mangsa yang berada di atas jalan,” katanya lapor Sinar Harian.
Mohd Nasyim berkata, pemandu lori Hino ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.


