SEORANG mekanik dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Baling, hari ini atas lima pertuduhan memiliki dua pistol, peluru, senapang angin serta senjata tiruan tanpa lesen sah awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa memiliki sepucuk pistol model Colt UTC/TIC kaliber .45 bersama kelopak dan sepucuk pistol model Forjas Taurus S.A PT 24/7 kaliber 9 milimeter buatan Brazil tanpa lesen atau permit sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bengkel membaiki kereta di stor Kampung Siput Siong, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 1 Mei lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam bertulis ‘No WET5168 Made In Taiwan’ tanpa sebab munasabah mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Mohd Shahifuldin berdepan dua lagi pertuduhan memiliki dua laras senapang angin serta 19 butir peluru pelbagai jenis tanpa permit sah di lokasi dan tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin.
Terdahulu, Nurul Nadia tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh berikutan kes memiliki senjata api tanpa permit adalah kesalahan serius, namun Intan Nursyafina memohon jaminan munasabah mengambil kira anak guamnya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,200 sebulan, selain menanggung isteri dan ibunya yang berusia 78 tahun.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


